Header Ads

Suri Rumah Mati Disembelih Suami

BATU PAHAT 8 Feb. - Seorang suri rumah ditemui mati dengan lehernya hampir putus dipercayai disembelih suaminya di rumah mereka di Taman Setia Jaya di sini hari ini.

Mangsa, Tan Wei Qi, 37, dipercayai mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami pendarahan teruk kira-kira pukul 8.30 pagi.

Suami mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai mempunyai masalah mental selepas terbabit dengan kemalangan dua tahun lalu berjaya ditahan di rumah tersebut.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Tan, 60, berkata, dia pergi ke rumah mangsa kira-kira pukul 9 pagi selepas gagal menghubungi anak dan menantunya sejak awal pagi ini.

"Kerana gagal menghubungi, saya pergi ke rumah mereka dan mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah manakala menantu saya dalam keadaan ketakutan.

"Melihatkan situasi tersebut, saya segera menghubungi pihak polis," katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Tan, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian itu dan kali terakhir mereka bertemu Wei Qi adalah sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

"Kami amat terkejut kerana tidak menjangka perkara seperti ini boleh berlaku kerana sewaktu kali terakhir bertemu mereka, tiada kelihatan apa-apa yang pelik," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Mat Razali Awang mengesahkan kejadian dan memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Utusan
Powered by Blogger.