Header Ads

Jaclyn Victor Bakal Berkahwin


"DIA seorang yang baik dan sangat memahami saya," kata penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor kepada Zass ketika diminta mengulas mengenai ciri-ciri bakal suaminya itu.

Kata Jaclyn atau yang lebih mesra disapa sebagai Jac, dia sudah mengenali lelaki pilihannya itu hampir dua tahun lalu dan kini sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

"Tahun ini, umur saya mencecah 36 tahun dan saya sudah bersedia untuk berkahwin," kata Jac sambil memberitahu teman lelakinya itu tua beberapa tahun daripadanya.

Ketika ditanya bilakah hari bahagianya itu akan berlangsung, Jac bagaimanapun enggan mengulas dengan lebih lanjut.

"Umum mengetahui saya adalah seorang yang sangat berahsia dalam soal peribadi.

"Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana saya boleh mengumumkannya di laman sosial," kata penyanyi Ikut Rentakku ini.

Begitu pun, pelantun lagu Gemilang ini memberitahu semuanya akan diuruskan Julai nanti iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Buat masa ini, segala persiapan belum dibuat lagi.

"Ketika itu, saya akan mengumumkan semuanya dan saya berharap agar semua pihak dapat bersabar," katanya lagi.

Sebelum itu, Jac telah memuatkan status dalam laman sosial miliknya, Instagram dan Facebook akan hasratnya itu.

Malah, menerusi status berkenaan, Jac sempat memohon maaf kerana membuat pengumuman gembira tersebut sewaktu dunia masih lagi bersedih dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Difahamkan, keputusan Jac untuk berkahwin sudah dibuat sejak awal Mac lalu namun terpaksa memberi laluan kepada insiden berkenaan.


Konsert Stanza Cinta

Berbicara mengenai karier seninya pula, Jac memberitahu, dia akan terlibat dalam Konsert Stanza Cinta yang akan dipentaskan pada 4 dan 5 April ini, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Jelasnya, konsert ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-30, Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Selain saya, artis lain yang turut terlibat ialah Noh Hujan, Adira dan Haziq.

"Dalam konsert ini juga, saya akan berkolaborasi dengan Adira bagi menyampaikan lagu Cinta," katanya.

Malah, katanya lagi, dua hari sebelum tibanya hari konsert berkenaan, dia akan sibuk menjalani latihan agar segalanya berjalan lancar.

Dalam perkembangan lain, Jac juga dalam proses mencari lagu yang bersesuaian bagi single terbaharunya tidak lama lagi.
Powered by Blogger.