Header Ads

Bapa Kelar Anak 7 Tahun Hingga Mati

Seorang bapa mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, petang Khamis semalam.
Bapa Kelar Anak 7 Tahun Hingga Mati

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan dua anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.

"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.


Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.

Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.

Semasa kejadian itu, ibu mangsa berada di tempat kerjanya di Cyberjaya.
  
Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6 petang.
  
"Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke tebing kemudian," katanya.
  
Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada lelaki itu.
  
Lelaki itu yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental, katanya.
  
Sementara itu, seorang jiran keluarga itu, yang enggan dikenali, berkata ibu mangsa kini berada di Hospital Kajang bagi menemani anak-anaknya yang cedera. Semasa kejadian, dia mendengar jeritan seorang anak perempuan suspek yang meminta tolong.

"Saya dengar dia menjerit minta tolong dan cakap bapanya sedang memegang parang lalu saya pun segera memaklumkan kepada jiran lain.

"Kejadian ini memang mengejutkan kami di sini kerana kebanyakan penduduk mengenali keluarga pasangan tersebut," katanya.
  
Wanita itu berkata keluarga mangsa sangat dihormati oleh jiran-jirannya kerana mereka sekeluarga rajin solat berjemaah di surau kawasan perumahan itu. - Bernama


Powered by Blogger.