Pasangan Pesara Guru Maut Balik Dari Kebun
KEDAH – Sepasang suami isteri maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Malau- Kuala Ketil berdekatan Kampung Kuala Bakong kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Mangsa, Mohd Yusof Md Lazim, 61, dan isterinya, Hamidah Dolah, 58, dari Taman Batu Pekaka, Kuala Ketil maut selepas motosikal mereka merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, rempuhan itu mengakibatkan kedua mangsa tercampak dan terseret kira-kira enam meter dari tempat kemalangan.
“Kedua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pemandu kereta bersama tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.
Kedua mangsa merupakan pesara guru dan dikatakan dalam perjalanan pulang dari kebun, Kampung Kejai ke kediaman mereka.
Arwah Mohd Yusof pernah bertugas di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Ketil manakala arwah isterinya pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Teloi Kanan.
Mayat kedua mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mereka.
Keduanya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Tanah Perkuburan Banggol Enggok, Bakai.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga mengakibatkan kematian.
Pemandu kereta terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.
Sinar Harian Online
No comments