Header Ads

Didik Anak Jadi Insan Mulia

Untuk mendidik anak-anak dengan jayanya kita perlu menjelajah ke dalam diri dan mencari kasih tulen yang tersemat di hati. Kita tidak boleh mendidik anak dengan jayanya jika di hati penuh dengan kemarahan, dendam dan kebencian yang tidak dirawat.

Jika tidak, kita akan cepat naik angin, baran dan memarahi dengan melampau terhadap kesalahan biarpun sedikit kepada anak-anak kita.

Hasilnya, bila anak sudah pandai bercakap, keluarlah kata-kata dan perangai yang menyakitkan kita semula. Adakah itu yang kita mahu?

Matlamat mendidik anak-anak adalah untuk menjadikannya seorang insan mulia. Bila anda hendak melakukan sesuatu kepada anak-anak, bertanyalah kepada diri, adakah ini akan membantu anak anda menjadi seorang yang berjiwa besar, baik hati, hormatkan orang tua dan berjaya.

Latihlah diri untuk bertanya sebelum mengambil tindakan, adakah apa yang anda bakal lakukan itu akan membantu anak anda menjadi seorang yang berdaya tinggi?

Bila kita tidak mempunyai matlamat yang jelas, maka kita mudah mengikut cara orang lain.

Bila trend mahukan anak-anak skor A dalam peperiksaan, maka itulah yang dilakukan tanpa memahami mengapa perlunya anak itu mendapat A dan apa yang membolehkan anak itu suka belajar.
Maka anak dipaksa dan disogok untuk mendapat A.

Kita menjadi kabur dengan apakah sebenarnya tujuan kita mendidik. Kita hanya nampak satu titik kecil dan tidak nampak gambaran menyeluruh.

Lantaran itu ilmu keibubapaan kita menjadi tidak efektif dan mudah mahu mencari pengiktirafan daripada orang lain.

Bila orang suruh pukul anak sebab dia buat perangai maka kita pun ikut. Kononnya, nanti orang kata tidak pandai mendidik anak.

Anak-anak akan tetap anak-anak dengan peri laku yang pelbagai. Akal mereka masih belum matang.

Oleh itu bagaimana kita yang telah matang ini, boleh membantu mereka dengan nilai-nilai murni ini? Memarahinya, memekik atau memujuk?

sumber
Powered by Blogger.