Header Ads

6 Cedera Letupan Di Bangkok

Thai
BANGKOK – Satu letupan bom atau mercun gergasi berlaku sebelum tengah hari semalam di jalan berhampiran tempat perhimpunan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semalam, menyebabkan enam pekerja pembersih daripada dewan bandar raya yang mengubah pasu pokok di jalan itu cedera, kata pegawai polis Mejar Nopparuj Jitman.
Perkhidmatan perubatan kecemasan Erawan pula berkata dua daripada mereka cedera serius dan dimasukkan ke hospital.
Sementara itu, polis semalam menahan seorang ketua penunjuk perasaan antikerajaan, yang pertama ditahan sejak tunjuk perasaan yang sudah berbulan-bulan lama.
Sontiyan Cheunruethainaitham ditahan di sebuah hotel di Bangkok pada sebelah pagi, kata ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdith.
“Dia orang pertama ditahan kerana mengingkari perintah darurat,” katanya kepada AFP.
“Kami sifatkan dia orang nombor dua (dalam gerakan tunjuk perasaan) kerana dia antara orang yang memberi sumber kewangan untuk tunjuk perasaan,” kata Tarit.
Penunjuk perasaan menawan persimpangan utama di Bangkok dan mengepung beberapa kementerian, memaksa pekerja menjalankan tugas di tempat lain.
Mereka mahu Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletak jawatan bagi memberi jalan kepada kerajaan sementara yang dilantik kerajaan melaksanakan apa yang dikatakan pembaharuan penting untuk memerangi rasuah.
Yingluck yang enggan meletak jawatan, berkata beliau dipilih oleh majoriti rakyat dan terbuka untuk sebarang pembaharuan tetapi majlis itu tidak mengikut Perlembagaan dan tidak demokratik.
Salah seorang pemimpin bantahan, Saemdin Lertbutr, pula berkata tiada seorang pun penunjuk perasaan cedera dalam letupan itu.
“Lawan kita cuma mahu mencetuskan keadaan atau menakutkan kita kerana kepadatan letupan tidak serius atau mengancam nyawa,” kata Saemdin.
Lebih 1,000 petani pula mengadakan tunjuk perasaan di luar ibu pejabat sementara kerajaan Thailand semalam berhubung kegagalan kerajaan membayar bagi padi dan beras yang dibeli di bawah skim subsidi.
“Jangan tipu petani, Yingluck. Jika kamu tidak boleh mentadbir negara, baik berundur kerana ramai yang berupaya mentadbir negara,” jerit seorang petani melalui pembesar suara.
Kira-kira 30 orang wakil petani dibenarkan masuk berjumpa Menteri Perdagangan Niwatthamrong Bunsongphaisan dan Menteri Kewangan Kittirat Na-Ranong, tetapi kurang setengah jam kemudian keluar dan memberitahu pemberita tiada kemajuan.
“Kita tidak akan menunggu lagi,” kata presiden Rangkai Petani Utara, Kittisak Ratanawarahal. “Kita akan merampas beras dan padi di gudang seluruh negara, jadi kerajaan tidak boleh menipu kami lagi.” – AP AFP REUTERS
Powered by Blogger.