Israel Balas Dendam Sekat Dana Ekoran Resolusi PBB
TEL AVIV – Israel bertindak dramatik membalas dendam dengan membatalkan sumbangan dana bernilai jutaan dolar kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Ia sebagai langkah terhadap Majlis Keselamatan badan dunia itu lewat Jumaat yang meluluskan ketetapan resolusi mengenai pembekuan pembinaan penempatan haram penduduk Yahudi di wilayah pertikaian dengan Palestin.
Dalam ucapan kepada rakyat Israel, Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu mengarahkan Kementerian Luar untuk melengkapkan penilaian semula hubungannya termasuk penggantungan pembiayaan kepada PBB.
“Saya sudah arah Kementerian Luar henti dana kira-kira 30 juta shekel (kira-kira RM35 juta) membabitkan lima institusi di PBB, terutama yang memusuhi Israel, dan akan sekat beberapa pembiayaan lain,” kata Netanyahu.
Baca: PBB Lulus Resolusi Tuntut Israel Segera Hentikan Aktiviti Penempatan di Kawasan Jajahan Palestin
Sebelum ini, Netanyahu berang dengan tindakan ‘bersejarah’ Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mengambil keputusan untuk berkecuali tanpa veto atau membatalkan resolusi Majlis Keselamatan PBB tersebut.
Ia sekali gus meluluskan resolusi untuk menentang penempatan haram Israel di wilayah Palestin. Usul itu dibawa Malaysia bersama-sama New Zealand, Senegal dan Venezuela selepas Mesir menarik diri akibat tekanan Israel.
Resolusi 2334 itu dengan tegas menuntut agar rejim Zionis “segera dan sepenuhnya menghentikan segala aktiviti penempatan haram penduduk pendatang Israel dalam wilayah Palestin, termasuk di Baitulmaqdis Timur.”
Sebanyak 14 anggota majlis itu termasuk empat anggota tetap: China, Perancis, Rusia dan Britain – sebulat suara mengundi memihak kepada resolusi tersebut manakala AS tidak mengundi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments