Header Ads

Pengubahsuaian Bajet 2016: Jangan Tambah Bebanan Rakyat

SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan agar pengubahsuaian semula bajet 2016 perlu mengambil kira kepentingan rakyat sekali gus memastikan langkah itu tidak memberi sebarang bebanan baharu terhadap rakyat.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata oleh itu antara yang perlu 'diubahsuai' oleh kerajaan ialah memberi penekanan terhadap menyelesaikan kos sara hidup rakyat yang semakin membengkak.

"Pemuda Pas  menjangkakan perbelanjaan operasi akan dinilai semula sepertimana yang telah dilakukan pada penstrukturan bajet tahun lalu.

"Oleh itu Pemuda Pas,  juga menolak sekiranya kerajaan berpendapat untuk memotong subsidi gas petroleum cecair (LPG) disebabkan isu kerugian sehingga RM800 juta subsidi berkenaan atas faktor penyelewengan yang telah dilaporkan media masa awal Januari yang lalu.

"Ia bukanlah utama penyelesaian terhadap masalah penyelewengan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Katanya lagi, di dalam menghadapi dua aspek besar ini iaitu pengubahsuaian  semula bajet dan menangani masalah kos sara hidup, Pemuda Pas menyarankan kerajaan agar melihat pada unit ekonomi yang lebih kecil iaitu ekonomi kekeluargaan.

"Ini kerana jika ekonomi kekeluargaan itu dicukupkan, ia akan mengembalikan kuasa membeli di kalangan rakyat dan secara tidak langsung masalah ekonomi negara dapat beransur pulih dan stabil.

"Pengubahsuaian bajet ini perlu dilakukan serampang dua mata. Ia tidak boleh hanya menyelesaikan masalah negara yang mengalami kekurangan pendapatan, malah dalam masa yang sama, ia juga perlu menyelesaikan masalah rakyat yang semakin tidak cukup wang untuk berbelanja," katanya.

No comments

Powered by Blogger.