Header Ads

Jangan Tembak Saya!, Rayu Budak Kecil Syria

MINGGU lalu, dunia komuniti fotografi antarabangsa gempar dikejutkan dengan sekeping gambar aksi spontan yang cukup menyayat hati jika kita melihatnya sekali imbas.
Foto itu memaparkan gambaran secara semula jadi seorang budak perempuan mengangkat kedua-dua belah tangannya dengan muka ketakutan seperti meminta belas ihsan simpati.
Gambar riak cemas kanak-kanak comel berusia empat tahun itu yang berpipi tembam dengan sepasang mata berwarna coklat bahkan menjadiviral ke seluruh dunia.
Dia berbuat demikian tanpa diarah ketika jurugambar berkenaan baharu mengangkat kamera dan disalah anggap seolah-olah menyangka itu adalah senjata api.
Jurugambar tersebut berkata, aksi itu berjaya dirakamkan di sebuah perkampungan kecil di pedalaman Syria yang musnah akibat sengketa perang saudara sejak 2011 lalu.
Pada kapsyen foto itu, jurugambar yang tidak didedahkan namanya menulis: “Syrian girl thought the photojournalist was holding a weapon, so she ‘surrendered’.
(Terjemahan: Seorang budak perempuan Syria yang menyangka si jurufoto sedang memegang selaras senjata, maka dia pun terus menyerahkan dirinya.)
Ekspresi secara spontan itu amat menyentuh perasaan dan ramai memberi komen, tindakan tersebut menggambarkan kesan trauma kesengsaraan emosi kanak-kanak Syria.
Gambar yang disiarkan menerusi laman sosial foto popular Imgur itu sudah ditonton lebih 2 juta kali malah menerima hampir 1,000 komen sejak disiarkan pada minggu lalu.
Dianggarkan kira-kira 200,000 penduduk Syria terbunuh dalam konflik berdarah di negara Arab itu, manakala jutaan lagi menjadi pelarian di Turki dan Jordan. – Agensi

No comments

Powered by Blogger.