Header Ads

Hudud Perkara Terakhir Dalam Penubuhan Negara Islam - Anwar Ibrahim

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pelaksanaan hukum hudud adalah perkara terakhir yang perlu dilaksanakan di dalam penubuhan sesebuah negara Islam.
Anwar turut mengakui bahawa terdapat perkara yang lebih penting daripada hukum hudud seperti keamanan sesebuah negara tersebut dan akidah seseorang yang tidak melaksanakannya tidak perlu dipersoalkan.
"Ia dalam urutan keutamaan Fiqh Awlawiyat yang paling akhir maknanya tugas pemerintah adalah keamanan, kefahaman dan keadilan bagi rakyat, itu yang diulas oleh Syeikh Yusuf Al-Qardawi.
"Masalahnya bila orang ulas mengenainya orang anggap ini sebagai mencabar akidah masing-masing," katanya ketika menjawab soalan pada sesi Dialog Bersama Anak Muda anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pas pernah 'mengkafirkan' parti Umno yang belum mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana pelbagai faktor.
Pas juga sering menggunakan isu hudud sebagai bahan kempen di dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.
Sementara itu, mengenai perbalahan di antara DAP dan Pas mengenai pelaksanaan hukum itu di Kelantan, Anwar menggesa rakan-rakan parti itu merujuk kepada perjanjian yang dilakukan pada awal penubuhan Pakatan Rakyat.
"Kita dah capai muafakat pada 2010, iaitu Pas berhak mengeluarkan pandangan dan DAP berhak menentang dan untuk pendirian Pakatan Rakyat (PR) ia perlu mendapat persetujuan ketiga-tiga parti, itu persetujuan kita," ujarnya. -  RakyatNews

No comments

Powered by Blogger.