Header Ads

Pelajar Tingkatan 5 Maut Terporosok Bawah Bas Express


ROMPIN – Seorang pelajar Tingkatan Lima SMK Ungku Husin, Endau, Johor maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 158.8 Jalan Kuantan – Johor Bahru, berhampiran Hotel Seri Malaysia, Tanjung Gemok kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mangsa, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggangi mangsa, Chia Wen Xuan, 17, dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan sebelah kiri bas.

Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa terperosok bawah bas dan maut di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat sementara pemandu dan kesemua 30 penumpang bas ekspres dari Johor ke Kelantan itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, Wen Xuan yang tinggal di Taman Tanjung Pahang, dekat sini mempunyai lesen memandu namun tidak memakai topi keledar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Ng, 17, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, rakannya itu tidak banyak bercakap ketika di dalam kelas.

“Saya perasan dia (mangsa) lebih banyak berdiam diri ketika dalam kelas dan tidak menyangka dia ditimpa kemalangan hingga maut,” katanya. – Sinar Harian Online

No comments

Powered by Blogger.