Inilah Gelungsur Air Paling Tinggi Di Dunia
DALAM bahasa Jerman Verrückt bermaksud “Gila”, dan ia juga adalah nama sebuah gelungsur air yang akan menjadi yang paling tinggi dan paling laju, memecahkan rekod ketika ini iaitu sebuah gelungsur air di Brazil.
Ketika ini gelungsur air paling tinggi dan paling pantas bernama Kilimanjaro dengan ketinggian 49.9 meter, yang terletak di pusat peranginan Aguas Quentes Country Club di Rio de Janeiro, Brazil namun Verrückt telah dibina dan direka lebih tinggi dari itu.
Verrückt terletak di Taman Air dan Resort Schlitterbahn di Kansas City, Amerika Syarikat.
Pihak yang bertanggungjawab membina gelungsur air ‘gila’ itu masih merahsiakan ketinggian sebenarnya sehingga hari pembukaanya nanti.
Bagaimanapun, jika khabar angin yang didengar adalah benar, ketinggiannya adalah setinggi bangunan 17 tingkat lebih tinggi dari Air Terjun Niagara Falls dan juga Statue Of Liberty dari kaki sehingga ke puncak obornya.
Bayangkan anda, menggelungsur turun dengan laju dari ketinggian seperti itu. Untuk merasai kehebatan Verrückt, anda terlebih dahulu perlu mendaki kira-kira 264 anak tangga.
Sejenis papan gelungsur akan membawa anda dan tiga lagi rakan turun melalui gelungsur berkenaan dengan kelajuan melebihi 104km sejam, kelajuan yang sama dengan gelungsur Kilimanjaro.
Sesampainya di bahagian bawah gelungsur, papan khas berkenaan akan membawa anda menaiki cerun setinggi bangunan lima tingkat, sebelum turun semula ke bahagian akhir gelungsur Verrückt.
Menurut Pengarah Pemasaran dan Jualan Taman Air Schlitterbahn, Layne Pitcher, Verrückt direka untuk menarik peminat tarikan adrenalin yang sentiasa mencari cabaran baru di seluruh dunia.
Beliau berkata tujuan pihaknya meletakkan empat orang dalam satu sesi gelungsur adalah untuk membolehkan mereka berkongsi bersama pengalaman mencabar itu.
“Ia lebih seronok jika mendengar seseorang menjerit di sebelah telinga anda tatkala menuruni gelungsur itu,” katanya.
Gelungsur itu direka oleh pemilik bersama taman tema berkenaan Jeff Henry yang merupakan seorang Pereka Taman Tema Air dengan nama samaran ‘Wizard Of Water’.
“Kami mahu menawarkan tarikan yang mencabar, tetapi keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Verrückt dijadualkan untuk mula beroperasi pada 23 Mei ini. Sebelum pembukaan, satu majlis mengukur ketinggian gelungsur itu secara rasmi akan dilakukan untuk mengenalpasti dengan tepat ketinggiannya. - IBNU K/Mynewshub.my