Mayat Bayi Ditemui Dalam Mangkuk Tandas
Kejadian itu disedari rakan suspek kira-kira jam 2.30 pagi, apabila melihat rakan serumahnya itu terbaring di hadapan pintu tandas dalam keadaan tidak bermaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, rakan suspek yang membuat pemeriksaan selepas itu melihat terdapat tompokan darah dan seorang bayi dalam mangkuk tandas di rumah sewa mereka.
Menurutnya, pelajar berusia 21 tahun itu kemudian menghubungi ambulans dan suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan stabil.
“Siasatan awal pihak polis, kita percaya mayat bayi berkenaan adalah hasil hubungan pelajar berasal dari Sabah itu dengan seorang lelaki beberapa bulan lalu dan kehamilan itu juga disembunyikan daripada pengetahuan rakan dan keluarga.
“Post mortem yang dilakukan pada tengah hari tadi (semalam) pula mendapati sebab kematian bayi adalah mati semasa kelahiran.
"Pihak polis kini sedang mengenal pasti saksi termasuk teman lelaki suspek terbabit,” katanya semasa sidang media di sini, semalam.
Manoharan berkata, pihak polis juga sedang mengesan beberapa saksi termasuk teman lelaki suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, semasa kejadian tersebut berlaku, mangsa tinggal bersama lima lagi rakan di flat berkenaan, namun kesemua rakannya tidak menyedari bahawa suspek mengandung sebelum ini.
“Kita telah mengenal pasti teman lelaki suspek yang bekerja sebagai tukang cat dan dipercayai berasal dari negeri ini dan kita sedang berusaha menjejakinya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, penahanan pelajar perempuan itu akan dilakukan sebaik sahaja suspek selesai menjalani rawatan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Dalam pada itu, kes tersebut juga akan dirujuk dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan selanjutnya. -SinarHarian