Header Ads

‘Harap Kotak Hitam Mampu Bertahan Seminggu Lagi’ - Komander Peter Leavy

Perth: “Bateri kotak hitam penerbangan MH370 semakin lemah. Saya harap ia mampu ‘bernyawa’ setidak-tidaknya untuk seminggu lagi,” kata Komander Pasukan Petugas Khas Misi Mencari MH370, Komander Peter Leavy.

Menurutnya, isyarat kedua diperoleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield pagi Ahad lalu mendapati kekuatan frekuensi dipercayai kotak hitam menurun kepada 33.3 kHz.

“Kami sudah merujuk kepada syarikat pengeluar kotak hitam dan mereka memberitahu frekuensi normal kotak hitam adalah 37.5 kHz.

“Ia (bateri kotak hitam) semakin lemah dan usaha mengesannya perlu dipercepatkan sebelum isyarat detik itu terhenti sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, isyarat diperoleh kapal Ocean Shield dan Haixun 01 sejak Jumaat lalu dipercayai dikeluarkan perakam suara kokpit atau perakam data pesawat pada pesawat MH370.

“Operasi akan diteruskan hari ini dengan lebih agresif,” katanya.

Difahamkan, Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) memperkecilkan kawasan pencarian kepada 77,580 kilometer persegi berbanding 234,000 kilometer persegi kelmarin di lokasi terletak 2,268 kilometer di barat laut Perth.

Sebanyak 11 pesawat tentera, tiga pesawat komersial dan 14 kapal laut terbabit dalam pencarian penerbangan MH370 bermula semalam.

Kapal Ocean Shield akan meneruskan pencarian isyarat bawah laut di utara lokasi ditetapkan manakala kapal perang China, Haixun 01 dan kapal HMS Echo akan melakukan pencarian di kawasan selatan seperti ditetapkan Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA).

Sementara itu jurucakap AMSA berkata, usaha mencari serpihan pesawat MH370 di permukaan Lautan Hindi boleh diibaratkan seperti menyelongkar tong sampah.

Menurutnya, perkara ini terbukti apabila pencarian sejak 17 hari lalu hanya menemui besi buruk, alatan memancing lama, sisa buangan kapal kontena dan pelbagai sampah hanyut di permukaan lautan Hindi.
Powered by Blogger.