Header Ads

Pencarian Pesawat MH370 Ditangguh Akibat Cuaca Buruk

KUALA LUMPUR - Pencarian pesawat MH370 ditangguh hari ini berikutan cuaca buruk di kawasan pencarian, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
Ia berkata, keadaan laut bergelora hari ini dengan ombak setinggi dua meter hingga mencecah empat meter.
Kawasan itu juga diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam, beserta hujan lebat dan awam yang rendah dengan ketinggian antara 200 dan 500 kaki dari paras laut.
"AMSA telah membuat penilaian dan mengambil keputusan keadaan cuaca sekarang akan menyebabkan sebarang aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan mendatangkan risiko kepada kru.
"Oleh yang demikian, AMSA menangguh semua operasi mencari di laut dan udara hari ini ekoran keadaan cuaca sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak AMSA turut mendapatkan pandangan Biro Meteorologi dan cuaca dijangka bertambah baik di lokasi pencarian pada sebelah petang dan dalam beberapa hari lagi.
Operasi mencari dijangka disambung semula esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
HMAS Success akan kembali ke kawasan pencarian apabila cuaca bertambah baik.
Malam tadi, kapal tersebut cuba mencari objek-objek yang dilihat oleh pesawat RAAF P3 Orion, tetapi tidak menemuinya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malamtadi mengumumkan bahawa berdasarkan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan satelit syarikat Inmarsat, penerbangan pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pesawat yang menuju Beijing hilang dari skrin radar pada 8 Mac. - Bernama
Powered by Blogger.