Header Ads

MAS Sedih Dan Kesal Nasib Yang Menimpa MH370


www.mynewshub.my
KUALA LUMPUR — Malaysia Airlines (MAS) malam ini menyatakan kesedihan dan penyesalan yang mendalam bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Doa kami buat semua yang tersayang 227 penumpang dan 12 sahabat serta rakan kami pada saat yang amat memeritkan ini.

“Kami tahu tiada kata-kata yang kami atau sesiapa sahaja dapat ungkapkan yang berupaya meredakan kesedihan ini,” kata MAS dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu menyebut MAS akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada anggota keluarga penumpang dalam mengharungi kesukaran pada minggu dan bulan yang mendatang.

“Operasi pencarian membabitkan pelbagai negara akan diteruskan bagi mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang berbangkit. Di samping usaha pencarian MH370, penyiasatan yang intensif akan dijalankan bagi mencari jawapannya,” menurut kenyataan itu.

Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Najib malam ini mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berikutan analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa KL pada tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Pada sidang media khas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Jauhari Yahya kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat. – BERNAMA
Powered by Blogger.