Terima Padah Akibat Cabul Pelajar
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua remaja terbabit cedera di seluruh badan dipercayai dipukul menggunakan besi.
“Dua remaja itu yang sedang berehat di sebuah rumah dikejutkan dengan kedatangan enam lelaki dan salah seorangnya yang juga ahli keluarga mangsa, bertindak menyerang mangsa secara
bertubi-tubi di bahagian kepala serta badan.
“Mereka kemudiannya turut dibawa kumpulan lelaki berkenaan ke sebuah rumah lain sebelum dipukul dengan besi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Azham berkata, siasatan awal mendapati dua remaja itu dipukul setelah mencabul seorang gadis berusia 14 tahun pada hari yang sama di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, pada jam 2 pagi.
“Dua remaja tersebut membawa pelajar terbabit untuk keluar dengan menaiki kereta sebelum membawanya ke sebuah rumah remaja berkenaan.
“Salah seorang daripada remaja itu menarik tangan gadis tersebut masuk ke dalam rumah sebelum bertindak membuka baju mangsa menyebabkan terkoyak, selain cuba untuk mencium mangsa,” katanya.
Azham berkata, remaja terbabit kemudian melepaskan mangsa dan menghantarnya pulang ke rumah.
“Mangsa yang juga pelajar di sebuah sekolah di sini, membuat laporan polis mengenai kejadian cabul yang menimpa dirinya pada hari kejadian,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit ditahan reman bermula hari ini sehingga 5 Februari.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau boleh dikenakan sebatan.
Selain itu katanya, polis turut mengesan suspek yang memukul dua remaja itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
-Sinar Harian-