Penduduk Islam di Republik Afrika Tengah Terus Terkepung
BANGUI 26 Feb. - Lebih 15,000 orang kebanyakannya penduduk Islam di Republik Afrika Tengah yang berlindung di kem penempatan sementara, terkepung dan berdepan ugutan bunuh oleh kumpulan-kumpulan bersenjata militia.
Menurut jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Adrian Edwards, kesemua pelarian itu yang kini ditempatkan di 18 lokasi di barat laut dan barat daya negara ini, berdepan risiko diserang pada bila-bila masa dan perlu dilindungi segera.
"Walaupun secara amnya, semua golongan masyarakat terdedah kepada keganasan yang berlaku di negara ini, kebanyakan yang terkepung kini adalah penduduk Islam. Mereka menerima ancaman bunuh daripada kumpulan militia anti-Balaka.
"Antara lokasi yang dibimbangi berlaku keganasan adalah di kawasan penempatan PK12 di Bangui dan bandar Boda, Boar serta Bossangoa," katanya pada satu sidang media di sini, semalam.
Pembunuhan terus berlaku di negara ini disebalik kehadiran kira-kira 2,000 tentera Perancis dan 6,000 tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) dengan petugas bantuan menyifatkan, tahap keselamatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini di ibu negara ini walaupun masih berlaku serangan sekali-sekala.
Menurut saksi, tentera pengaman Burundi semalam menembak mati dua militia anti-Balaka yang berada di sebuah kedai di sini.
Dalam pada itu di Carnot, sebuah bandar di barat laut Bangui yang dihuni 45,000 penduduk, penduduk Islam mencari perlindungan di sebuah gereja tempatan selepas menyorok di dalam belukar sejak beberapa hari lalu.
Paderi Justine Nary berkata, lebih 1,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak mencari perlindungan di situ.
Keadaan agak tegang selepas militia anti-Balaka mengancam untuk membakar bangunan itu sekiranya penduduk Islam tidak mengosongkan rumah ibadat tersebut walaupun terdapat kehadiran tentera Perancis dan AU.
"Kami menerima kehadiran seramai 223 orang pagi ini dan trak yang membawa penduduk kembali keluar bagi membawa lebih ramai penduduk yang bersembunyi di sebalik belukar, katanya. - REUTERS
No comments