Header Ads

Nelayan Mati Ditikam Keluarga Sendiri


ROMPIN – Seorang nelayan warga Vietnam maut ditikam dipercayai oleh anggota keluarganya sendiri selepas dikatakan berlaku pertengkaran antara mereka ekoran mangsa didakwa tidak menghantar duit ke kampung.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata mangsa dikenali sebagai Tran Van Mau, 29, manakala suspek yang dipercayai anggota keluarganya berusia 25 tahun.

Mangsa ditikam di bahagian ketiak kiri dengan pisau pemotong ikan dalam sebuah bot nelayan yang berlabuh dekat jeti Tanjung Gemok di sini awal pagi ini, katanya.

Kedua-duanya bekerja sebagai nelayan di sini dan menetap di jeti tersebut sejak tiga bulan lepas.

Johari berkata kejadian pukul 1 pagi itu berlaku semasa mangsa bersama suspek dan beberapa rakan mereka berbual sambil minum arak di dalam bot tersebut.

“Tiba-tiba berlaku pertengkaran dua bersaudara itu dipercayai berpunca kerana suspek marahkan si mati sebab tak hantar duit ke kampung.

“Polis telah memaklumkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengesan pisau pemotong ikan yang telah dibuang suspek ke dalam laut.

“Suspek kini ditahan di IPD Rompin dan kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan (iaitu membunuh),” katanya. – BERNAMA
Powered by Blogger.