Lelaki Warga Filipina Dijatuhi Hukuman Gantung
ALOR SETAR – Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar dadah di Bukit Kayu Hitam, tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Rhian De Guzman, 29, seorang pengendali jentera berat, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Rhian dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,790.1 gram di di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam pada 26 Mac 2012 kira-kira 1.40 tengah hari.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mohd Zaki ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah berpuas hati dengan keterangan bahawa tertuduh mengetahui tentang dadah itu ketika dia ditangkap oleh pihak berkuasa.
Mohd Zaki berkata tertuduh ditahan selepas imbasan yang dilakukan pada beg yang dibawanya menunjukkan objek tersembunyi dan pemeriksaan fizikal terhadap beg itu menemui satu paket mengandungi bahan kristal putih yang kemudiannya dibuktikan adalah methamphetamine.
“Rhian dalam pembelaannya berkata beg itu bukan kepunyaannya dan diberikan oleh orang lain. Kenyataan pembelaan tertuduh adalah terlalu umum dan gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam T. Jayaraj memberitahu mahkamah bahawa dia sudah bertunang sebelum ditangkap dan merancang untuk berkahwin.
Katanya kesalahan itu juga merupakan yang pertama dilakukan anak guamnya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Sarah Dina Baharudin. – BERNAMA
No comments