Banjir: Perlu Lebih Sebulan Bersihkan Kediaman
KEMAMAN – Sebahagian besar penduduk di daerah ini menjangkakan kerja membersihkan kediaman dan pelbagai barangan yang terjejas akibat banjir besar awal bulan ini dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.
Ini disebabkan lumpur tebal yang datang bersama air banjir sehingga ada yang melekat melebihi lima meter sama ada di dinding mahupun di bumbung kediaman dan bangunan.
Selain mengotorkan bangunan yang disaluti lumpur kering hingga setebal 15cm, bencana itu turut merosakkan dan menghanyutkan pelbagai barangan.
Tinjauan Bernama di beberapa buah kampung di sekitar Kemaman, daerah terjejas teruk akibat banjir 3 Dis lalu, mendapati penduduk masih membiarkan barangan mereka di luar rumah kerana belum dapat dibersihkan sepenuhnya.
Lebih memeritkan kerja mencuci rumah, sekolah serta barangan akibat bencana itu perlu dilakukan kerap kali disebabkan kesan lumpur yang tebal menyaluti sekolah serta kediaman penduduk.
Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor, Wan Kaziar Tun Ali, 48, berkata walaupun sekolah tersebut sudah tiga kali dicuci namun kesan banjir belum dapat dibersihkan sepenuhnya disebabkan lumpur yang sangat tebal.
“Mungkin sebelum buka sekolah nanti pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru serta pelajar perlu bergotong-royong sekali lagi untuk bersihkan kawasan sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Maimah Ngah, 67, penduduk Kampung Air Putih dekat sini berkata setakat ini dia hanya membersihkan rumahnya manakala barang-barang lain yang masih berselut dibiarkan di luar rumah.
Katanya banyak juga barangan dibuang seperti tilam dan pakaian kerana sudah tidak dapat digunakan lagi.
“Banjir meninggalkan kesan yang sangat teruk selain keadaan cuaca yang tidak menentu, kejap panas kejap hujan … mak cik rasa kena ambil masa lebih sebulan untuk kemas balik barang-barang ini,” katanya. – BERNAMA
No comments